Tak mahu popular kerana Zul Ariffin – Ikhram Juhari

Pelakon drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad, Ikhram Juhari,27, mengaku wajahnya sering dikaitkan dengan pelakon popular Zul Ariffin.

Pernah digandingkan bersama dalam sebuah iklan minyak rambut, Ikhram akui Zul mempunyai keistimewaan tersendiri yang tiada pada orang lain.

 

“Saya sedar ramai yang kaitkan saya dengan Zul Ariffin walaupun saya tidak beranggapan sebegitu. Bagi saya, Zul jauh lebih baik dan mempunyai karakter tersendiri.

“Saya tidak kisah orang kaitkan saya mempunyai wajah seiras Zul, namun kalau boleh saya tidak mahu popular kerana nama Zul Ariffin.

“Dia sudah lama dan banyak pengalaman dalam industri nak dibandingkan dengan saya masih baharu.

“Biarlah saya dikenali kerana bakat serta usaha sendiri dan bukannya disebabkan orang lain,” katanya yang membawa watak Raf dalam drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad siaran Astro.

 

Raf adalah bos dan abang tiri kepada Nawal lakonan Uqasha Senrose. Watak Raf seorang yang suka bergosip di pejabat membuatkan nama Ikhram semakin dikenali.

“Jarang kita lihat lelaki yang ‘macho’ kononnya suka bergosip atau ‘membawang’. Lain pula dengan Raf yang suka ambil tahu hal orang di sekelilingnya.

“Hakikatnya lelaki sebegini ramai di luar sana, cuma jarang dipaparkan dalam drama atau filem,” katanya yang sebelum ini sudah banyak berlakon drama antaranya Saka Sister, Ku Kirim Cinta, Mimpi Sabrina, Nota Buat Cempaka dan banyak lagi. – MHE TV

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*