Dedah wajah anak, Rizqin lengkapi hidup Nina Iskandar, suami

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Brunei Darussalam, Nina Iskandar, mengotakan janji untuk berkongsi nama dan jantina bayinya apabila memperkenalkan anaknya sempena kedatangan tahun baharu.

Nina yang menimang cahaya mata sulung hasil perkongsian hidup dengan penolong pengarah, Azlan Adzanan, memaklumkan anak lelakinya yang dilahirkan pada 23 Disember lalu itu diberi nama Muhammad Aaryan ar-Rizqin.

 

“Saya dan suami mengambil kesempatan sempena kedatangan tahun baharu untuk memperkenalkan anak kesayangan kami.

“Kami mendoakan Rizqin membesar dengan sihat dan sempurna serta menjadi anak yang soleh,” tulis Nina dalam catatan ringkas di laman Instagramnya.

Terdahulu, pelakon yang popular menerusi drama Andainya Takdir itu berkongsi pengalaman melahirkan anak sulungnya sebagai kenangan yang sukar dilupakan.

Akuinya, masalah kerisauan melampau yang dihidapi menyebabkan dia gusar dan takut untuk menjalani pembedahan.

Nina bagaimanapun, bersyukur mendapat sokongan doktor dan jururawat yang sentiasa menenangkannya sepanjang melalui episod mendebarkan itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang berada di sisi ketika proses pembedahan. Mereka berusaha menenangkan saya yang menggigil ketakutan apabila suami tidak dibenarkan masuk menemani di dewan pembedahan,” katanya.

Pasangan itu diijabkabulkan, April lalu, seterusnya diraikan pada majlis resepsi sempena ulang tahun kelahiran Nina yang ke-28 pada 4 Ogos lalu.

Mereka mula berkenalan ketika terbabit dalam penggambaran drama Setelah Cinta Itu Pergi arahan Heykal Hanifah.

Sumber: BH online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*