PU Yeop dapat anak ketujuh

BEKAS peserta Pencetus Ummah (PU) dan Pendakwah Bebas, Mohd Zainudin Mohamed Zaini atau PU Yeop bersyukur dikurniakan anak lelaki yang juga anak ketujuh di hari lahirnya yang ke-39, kelmarin.

Yeop berkata, ia adalah hadiah istimewa buatnya kerana dapat berkongsi tarikh lahir yang sama dengan anak.

“Alhamdulilah, rezeki Allah. Saya sangat bersyukur mendapat hadiah anak pada hari lahir kali ini. Ia amat istimewa apatah lagi bayi baru lahir itu adalah anak lelaki kedua dalam keluarga saya,” katanya.

Selain dua lelaki, lima lagi anaknya adalah perempuan.

Yeop juga tidak menafikan kebanyakan ilmuan Islam memiliki anak ramai.

 

“Memang benar, orang selalu cakap golongan yang tahu agama mesti ada ramai anak. Saya mengakuinya. Anak adalah rezeki daripada Allah SWT. Sebagai ibu bapa, kita kena yakin setiap anak itu sudah ditetapkan rezekinya.

“Cuma, ibu bapa perlulah berusaha mencari rezeki itu untuk keluarga kerana ia tidak datang bergolek kalau tidak bekerja. Apapun, memiliki anak ramai ini juga adalah menyahut seruan Nabi Muhammad SAW untuk umat-Nya.

“Nabi memang minta umat-Nya berkahwin dan miliki banyak anak kerana baginda bangga melihat umat-Nya ramai di akhirat nanti,” katanya.

Menurut Yeop, golongan ulama selalu sebut kenapa ‘orang alim’ ada ramai anak kerana isteri adalah hiburan di rumah.

 

Katanya, jika dilihat kebiasaannya golongan ilmuan agama memang ramai anak, tetapi bagi individu lain mungkin ada bentuk hiburan tersendiri.

Ditanya juga nama pilihan untuk bayi lelakinya itu, Yeop berkata. dia ada beberapa nama.

“Nama yang dipilih itu akan diumum pada hari ketujuh kelahiran sebagai mengikut sunnah,” katanya.

 

Bayi lelaki seberat 3.35 kilogram itu lahir secara normal di sebuah pusat perubatan di Taiping, Perak.

Yeop mendirikan rumah tangga dengan Ku Nuraini Ku Endut, 39, pada 2004 dan dikurniakan anak iaitu Puteri Ain Balqis, 15; Muhammad Iskandar Zulqarnain, 14; Puteri Ain Mardhiah, 13; Puteri Ain Diena Sofiyya, 10; Puteri Ain Qaisara, 8; dan Puteri Ain Qistina, 6.

 

 

sumber: metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*