SAIZ kakinya semakin membesar, tetapi pelajar perempuan ini masih setia mengenakan kasut lusuh dan kecil yang dipakainya sejak di bangku sekolah rendah.
Dengan bertemankan kasut koyak dan sempit
itu, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Sabah itu tetap bersemangat menuntut ilmu setiap hari.
Kecekalan dan semangat pelajar berkenaan membuatkan guru bimbingan dan kaunseling sekolah terbabit, Maisarah Hannan Chong Abdullah, 35, sebak sebelum membelikan kasut baru buatnya.
Maisarah berkata, pelajar terbabit dikenalinya sejak setahun lalu kerana terpilih sebagai penerima projek makanan percuma dikendalikannya di sekolah terbabit.
“Dia pelajar pandai di sekolah kami, tiada masalah disiplin dan bukan jenis suka mengadu dan meminta-minta walaupun memang datang dari keluarga susah.
“Tetapi, saya menyedari masalah dialaminya pada hari terakhir sebelum cuti sambutan Tahun Baru Cina, ketika mahu menyerahkan borang kebenaran ibu bapanya untuk membawanya ke program luar sekolah khusus untuk 10 pelajar kurang bernasib baik.
“Ketika inilah, saya perasan macam ada tidak kena apabila melihat kasutnya menggelembung dan padat seolah-olah dia memaksa kakinya memakai kasut sempit itu.
“Saya nampak bahagian depannya koyak dan berlubang, tetapi jauh di sudut hati saya tetap kagum kasutnya masih bersih,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Menurut Maisarah, hari pertama sesi persekolahan dibuka selepas cuti perayaan itu, dia membelikan kasut baru buat pelajar itu.

“Sebelum beli kasut, saya meminta pelajar itu buka kasutnya untuk mengambil ukuran kakinya.
“Ketika itu saya terkejut rupanya belakang kasut itu terlampau lusuh dan koyak lagi teruk berbanding bahagian depannya seperti kali pertama saya lihat.
“Hati saya sebak, pelajar itu memaklumkan rupanya dia sudah menggunakan kasut itu sejak di darjah enam lagi mungkin kerana keluarganya tidak mampu membelikan kasut baru,” katanya.
Wanita yang aktif sebagai sukarelawan Perkalas@The 3rd Force itu menyerahkan kasut baru kepada pelajar berkenaan, 3 Februari lalu.
“Nampak riak mukanya terlampau gembira sebaik menyarung kasut baru itu.
“Sebenarnya ini bukan kali pertama, saya pernah uruskan kes pelajar lebih daif daripada ini, namun apa yang penting mereka dapat belajar dengan selesa.
“Terima kasih kepada penyumbang, saya berharap lebih ramai lagi pelajar yang mengalami nasib sama dapat dibantu selepas ini,” katanya.
Sumber: Metro online
Leave a Reply