Pasangan OKU ini melekat depan TV tiap malam gara-gara si Puteri Sweet Dreams, “Tergelak tengok scene Mira Filzah buat bahasa isyarat tak tepat”

DRAMA Sweet Dreams lakonan Mira Filzah dan Ben Amir kini umpama fenomena dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira usia.

Kelainan yang dihasilkan daripada drama ini sekaligus menarik perhatian golongan yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran (pekak dan bisu) untuk menonton drama berkenaan.

Bagi Mohamad Hafiz Sabri atau mesra dengan panggilan Hafiz, drama arahan Michael Ang itu menarik perhatian ibu dan bapa saudaranya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak dan bisu.

“Sebelum drama ini ditayangkan, mereka ada beritahu yang Mira Filzah belajar bahasa isyarat di Persekutuan Orang Pekak Malaysia di Puchong, cuma mereka tak tahu tujuannya.

“Saya selalu je ke rumah ibu dan bapa saudara tengok drama sama-sama memandangkan kami duduk di apartment sama. Cuma kali ini, drama tersebut membuatkan mereka lebih tertarik kerana ada bahasa isyarat.

“Sejak episod satu hingga sekarang, mereka sekeluarga takkan terlepas tengok drama itu,” ujar Hafiz ketika dihubungi mStar, Selasa.

 

Hafiz harap fenomena drama tersebut mampu memberi semangat kepada penggiat seni untuk hasilkan sesuatu drama yang luar biasa.

Ibu dan bapa saudara Hafiz, Saadiah Mustaffa dan Mohamad Sazali Shari telah mengalami masalah pertuturan dan pendengaran sejak berumur 10 tahun selepas menghidap demam panas.

Pereka hiasan dalaman ini turut akui, drama Melayu yang sering ditayangkan di televisyen jarang mempunyai sarikata bahasa Melayu, sekali gus agak sukar bagi golongan OKU itu memahami jalan cerita berkenaan.

Namun, penghasilan drama Sweet Dreams ini lebih mudah bagi mereka fahami kerana mempunyai sarikata bahasa Melayu.

Pemuda berusia 29 tahun ini juga memberitahu ibu dan bapa saudaranya bersama enam anak mereka ceria dan terhibur ketika menonton drama popular itu.

“Bila saya layan drama bersama-sama mereka, mereka sentiasa gelak ketawa dan gembira.

“Mereka ada juga tergelak kalau ada beberapa scene yang tunjuk bahasa isyarat kurang tepat.

“Mula-mula saya musykil juga kenapa mereka tergelak, selepas itu baru mereka jelaskan yang sebenarnya bahasa isyarat itu kurang tepat,” katanya yang kini menetap di Seri Rampai, Ampang, Selangor.

Secara tidak langsung, Hafiz juga mempelajari bahasa isyarat bersama pasangan OKU itu dan menjadikan ia satu medium untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Walaupun mempunyai masalah pertuturan  dan pendengaran, ia bukanlah halangan buat Saadiah Mustaffa dan Mohamad Sazali.

Mereka yang masing-masing berumur 49 tahun dan 62 tahun bekerja sebagai tukang masak di Jemari Cafe serta Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

 

Hafiz (hujung kiri)bersama ibu saudaranya (dua dari kiri), dua sepupunya (tiga dari kiri dan hujung kanan berbaju hitam) dan bapa saudaranya (tengah).

Daripada enam anak mereka, hanya seorang sahaja yang berumur 17 tahun mengalami masalah pendengaran sejak kecil.

Dalam pada itu, video berdurasi 13 saat itu mendapat tontonan 32,200 tontonan dan meraih sehingga 2,000 ulang kicau serta 2,041 tanda suka.

Menceritakan tentang video berkenaan, sepupu Hafiz, Idris Muhamad Sazali yang kebetulan berada dalam video berkenaan sering menjadi juru bahasa kepada ibu dan bapanya.

“Dalam video itu dapat dilihat sepupu duduk di depan TV dan sambil itu, dia akan beri bahasa isyarat kepada ibu dan ayahnya kalau ada scene yang melibatkan dialog.

“Ikutkan ibu dan bapa saudara saya ini sebenarnya lebih memilih untuk tengok drama atau filem Bollywood, Hollywood, atau drama berbahasa Inggeris sebab ada sarikata bahasa Melayu.. tetapi bila ada drama sebegini, mereka jadi seronok dan teruja.

“Saya berharap drama seperti ini sedikit sebanyak dapat membuka mata orang ramai tentang kewujudan golongan minoriti seperti mereka dan memberi semangat kepada penggiat seni untuk hasilkan sesuatu drama yang luar biasa,” katanya

sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*